Monday, May 2, 2011

Saya Sibuk - Lukas 10:38 - 42

"Saya sangat sibuk.  Tugasan yang tidak akan pernah habis-habis.  Kerja yang ini sudah selesai, tapi masih ada banyak kerja baru yang menanti dan mesti diselesaikan.  Ya, memang benar saya tidak cukup masa". Alasan sibuk dan tidak cukup masa!  Sebenarnya untuk kita, berapa jam sehari yang memadai cukup supaya kesibukan harian kita terurus?  Lebih dari 25 jam sehari atau 8 - 10 hari seminggu?.   Tahukah kita bahawa selagi kita hidup, kerja tidak akan pernah selesai.  Dia akan tetap ada seiring dengan berjalannya masa, keadaan dan keperluan hidup kita.  keadaan seperti ini memberitahu kita bahawa kesibukan akan tetap ada.  terserah bagaimana cara setiap kita menangani kesibukan yang ada.

Dalam suatu kaji selidik yang pernah saya baca tentang halangan bagi pertumbuhan rohani, saya melihat suatu data yang dikumpulkan daripada 20,000 lebih orang kristian di 139 buah negara menyatakan bahawa mereka "sering" atau  "merasa tergesa-gesa" melakukan sesuatu tugas.  60% orang kristen berkata bahawa kesibukan hidup sering atau selalu menjadi penghalang mengembangkan hubungan mereka dengan Tuhan.  Hal ini jelas menyedarkan kita bahawa sebenarnya kesibukanlah yang membuat kita gelisah dan mengganggu persekutuan kita dengan Tuhan.  Apakah kita mahu mengakuinya?

Kita belajar dari pengalaman Marta.  Pada hari  itu, Yesus dan murid-murid adalah tetamu istimewanya.  Marta sibuk menyediakan makanan dan dia memastikan semua tetamunya merasa selesa. Dia telah membiarkan kesibukan membuat dia merasa gelisah sehingga tiada masa lagi yang diluangkannya untuk mendengar dan merenungkan kata-kata Yesus.

Bagaimana dengan kita?  terlalu sibukkah kita sehingga semua waktu dipenuhi oleh aktiviti kerja kita?  Ataupun pekerjaan kita untuk Yesus juga telah mengganggu kita dari menikmati persekutuan dengan Yesus.  Sekalipun pelayanan yang aktif dan praktik kepada Allah itu penting dan baik, tugas kita yang pertama dan terpenting adalah kasih dan pengabdian yang terungkap dalam penyembahan, doa dan persekutuan bersama Tuhan.

Monday, November 15, 2010

Yang Sedikit Kalau Di Tangan Sang Pencipta. Yohanes 6:1-15

Peristiwa ini terjadi di suatu tempat yang sunyi, mungkin di sebuah kawasan berbukit.  Yesus dan murid-murid-Nya ada di sana kerana saja mau mengasingkan diri dan berehat dari kesibukan seharian yang dilalui.  Kalau ada di sana sebaik-baiknya bekalan makanan yang mencukupi perlu ada sebab kawasan ini agak jauh dari kemudahan untuk berbelanja.

Alkitab mengatakan ada 5000 orang lelaki (tidak termasuk wanita dan kanak-kanak) yang datang ke tempat itu.  Orang banyak ini ke sana sebab mereka mahu mendengar Yesus mengajar mereka.  Sudah tiba masa untuk makan.  "Kita harus memberi mereka makan" kata Yesus.   Tapi kawasan ini jauh dari pekan.  Makanan dengan harga 200 dinar tidak cukup walaupun masing-masing mendapat sedikit seorang.  Juga ada seorang anak membawa bekalan 5 roti dan 2 ekor ikan, tapi apa makna semua itu?

200 dinar atau 5 roti dan 2 ekor ikan berbicara hal keterbatasan atau tidak cukup.  Berdasarkan hitung kira,  semua itu terlalu kecil atau sedikit.  Tiada yang membanggakan sama sekali.  Ah!  sangat malang hari ini.  Kesihan orang banyak.  Ada makanan tapi sedikit.

Tapi Yesus ada di sana.  Yang sedikit selagi di tangan kita, itu tak akan bertambah malah semakin berkurang atau habis dan kita diselubungi kekuatiran.  Tapi kalau yang sedikit itu di serahkan ke tangan sang Pencipta, apa yang akan terjadi?   yang sedikit akan diberkati, akan mencukupi untuk orang banyak,  bukan saja cukup tapi ada sisa 12 bakul.  Kita harus tahu sisanya bukan 12 keping roti atau 12 ekor ikan tapi 12 bakul. 

Jangan kecil hati dengan jumlah yang sedikit.  Ah! cuma sedikit.  Kita selalunya tidak menghargai yang sedikit, terlalu menggenggamnya erat-erat sehingga kita lupa serahkan nya ke tangan Tuhan.  Kita hampir tidak percaya kuasa Tuhan. 

Samada sedikit atau banyak yang ada pada kita, saya mau bertanya:  " apakah semuanya sudah berpindah tangan, iaitu ke tangan Pencipta dan sumber berkat?"  Masalahnya, di tangan siapa yang sedikit itu sekarang ini?

Thursday, October 28, 2010

Adakah Harapan Masa Depan akan Pergi Bersama Dia Yang Pergi?

Pemergian seseorang yang dikasihi membuat kita merasa tiada harapan dan masa depan lagi.  Kalau adapun, biasanya kita akan berkata bahawa harapan itu bukan milik kita lagi.  Semua itu telah pergi bersama dia yang pergi.

Naomi telah melalui pengalaman yang sangat menyakitkan dalam hidupnya.  Suami yang dikasihinya meninggal, tidak lama dari itu dua anak lelakinya juga meninggal.  Masa depan diselubungi dengan ketidakpastian.  Bukan mudah menempuhi keadaan sedemikian sebab sekarang ini dia masih tinggal di negeri asing.  Sungguh Naomi merasa hal ini bukannya mudah untuk diharungi.   Tiada lagi yang menjamin kehidupan dan masa depannya di sana.  Tapi syukurlah dia masih punya Rut, anak menantu yang mengambil berat tentang hidupnya.  Perkataan Rut sangat menolong dan telah mendorongnya untuk bangkit kembali.  Pada mulanya Naomi menolak untuk menerima perhatian dan kasih Rut.  tetapi dia kembali diyakinkan oleh perkataan dan tindakan Rut.

"Janganlah suruh saya pulang.  Benarkanlah saya mengikut mak.  Ke mana saja mak pergi, saya akan ikut bersama.  di mana saja mak tinggal, di situ juga saya hendak tinggal.  Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Allah yang disembah mak, akan saya sembah juga.  Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan.  Biarlah Tuhan menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apapun memisahkan kita kecuali kematian.  Rut 1: 16 - 17.  Ini adalah keputusan yang sangat berani oleh Rut.


Sangat heran bahawa Rut berani mengambil keputusan untuk mengakui Allah Naomi sebagai Allahnya juga.  Naomi kehilangan semua.  Apa lagi yang membuat Rut tertarik pada bangsa dan Allahnya Naomi?  Yang terpenting di sini bahawa keputusan Rut telah memberi sinar baru untuk masa depannya.  Rut hanya mau belajar mengenal Allah yang diimani oleh Naomi.

Kehidupan baru perlu diteruskan.  yang telah pergi biarlah pergi.  Apa yang terjadi seterusnya, serahkan saja ke dalam tangan Tuhan.   Dalam usaha Rut membela kehidupannya, dia bertemu dengan Boas.  Allah memberi suami ke dua iaitu Boas untuk Rut.  Kehidupannya terbela.  Mereka adalah nenek moyang kepada Juruselamat dunia.  Mungkin hal seperti ini tidak dibayangi oleh Rut sebelum ini, tetapi inilah yang berlaku padanya. 

Pelajaran yang kita dapat dari kisah ini ialah bahawa sebelumnya Rut mungkin tiada masa depan bersama mertuanya, tapi Allah telah mengubahnya menjadi bermakna.  Masa depan yang istimewa disediakan Allah bagi kita semua.  Sebab itu mohonlah kepada pimpinan Roh Kudus setiap kali kita membuat keputusan.

Wednesday, October 13, 2010

TIADA NAMA - Lukas 16 : 19 -31

Nama adalah cara terbaik untuk kita mengenal dan mendekati seseorang.  Tetapi anehnya nama yang seorang ini tidak dinyatakan.  Hanya dia dikenali sebagai seorang yang kaya-raya.  Dia punya segala-galanya.  Rumah mewah, cukup dengan para pembantunya dan yang pasti, makan minumnya sememangnya lazat.  Mengenai pakaiannya, dikatakan bahawa setiap hari dia berpakaian jubah ungu dan kain halus.  sangat hebat! Juga setiap hari mereka berpesta dalam kemewahan.  Tiada yang kurang.  Semua cukup.  Boleh dikatakan hartanya lebih dari cukup untuk diwarisi kepada keturunannya.  Kerana terlalu leka dengan kemewahannya, sikaya terlupa untuk merenung sejenak tentang makna hidupnya yang sebenarnya.  kekayaan telah membuatnya jauh dari Tuhan.  Tiada waktu untuk dia menghayati kebenaran.  Tiada masa beribadah.  Tidak dihiraukannya hidup sekarang dan akan datang.

Di dekat sikaya, ada seorang yang miskin.  Namanya Lazarus.  Secara fizikal dia mengidap penyakit kulit.  Sekalipun keadaannya demikian, dia tabah menghadapinya.  Selalunya, setiap waktu makan, Lazarus akan berbaring atau duduk di dekat pintu rumah sikaya sekadar mengharapkan sisa makanan yang jatuh dari meja sikaya.  Dia tidak berbuat jahat dengan mencuri makanan di tempat lain. Kerana keadaannya yang sedemikian perit membuatnya lebih bergantung kepada Tuhan.  Setiap hari dia merenung hidupnya yang susah.  Ada yang pasti bagi Lazarus: "Sekalipun hidupku penuh dengan penderitaan,semua ini hanya seketika saja. Akan ku miliki tubuh yang baru bila bersama Tuhan kelak".

Semua makhluk, baik yang kuat atau yang lemah suatu hari nanti akan menemui ajalnya masing-masing.  Tiada yang mampu bertahan jika tiba saatnya.  Sikaya dan Lazarus juga menemui ajalnya.

Si kaya tidak sedar kekayaannya bukan jaminan peroleh hidup kekal.  Dia masuk neraka.  Dia tanggung risiko dan sangat menyesal.  Tiada pilihan selain tinggal di tempat penderitaan.  sangat mengerikan!

Lazarus sebagai orang beriman sekarang hidup selesa.  Dia tidak lagi memikirkan soal lapar. Tiada kesakitan.  Kehidupan di sana sangat menyenangkan.  Paling indahnya duduk dipangkuan Abraham.

Si kaya di tempat penderitaannya memandang ke atas, dilihatnya Lazarus dan Abraham.  Dia berseru mohon belas kasihan:  "Tolong! bapa Abraham, suruhlah Lazarus celupkan hujung jarinya ke dalam air dan bawalah ke mari untuk sejukkan lidahku dan meringankan kesakitanku".  Tidak boleh sekalipun setitik air.  Abraham sedarkan dia tentang apa yang berlaku selama hidupnya. Lazarus layak mendapat hasil imannya. Lagipun ada jurang pemisah antara neraka dan tempat yang indah / sorga.

"Tapi bapa Abraham, jika air setitikpun tidak kudapatkan, aku ada suatu permohonan yang hanya Lazarus yang sesuai melaksanakannya. Suruh Lazarus kembali ke bumi supaya dia boleh memberi peringatan kepada keluargaku.  Lima orang saudaraku hidup seperti aku.  Beritahu dan sedarkan mereka supaya mereka bertobat dan jangan masuk ke tempat penderitaan ini".  Tidak boleh!  Pada mereka ada kitab Musa dan para nabi. Mereka harus merenung dan mentaatinya supaya mereka hidup.  "Tidak bapa Abraham.  Mereka itu keras hati.  mesti seorang seperti Lazarus yang bangkit dari antara orang mati yang sedarkan mereka".

Abraham memberitahunya:  "Kalau mereka tidak dapat diyakinkan oleh kitab yang ada pada mereka, orang yang mati dan bangkit kembalipun tetap tidak dapat menyedarkan mereka".  Kasihan si kaya, di neraka dia baru merasa terbeban akan keselamatan saudara-saudaranya yang masih di bumi. Dulu, selama di bumi tidak diingatinya hal keselamatan, Lazarus yang lapar juga tidak diberinya makanan.

Kita yang masih hidup ini perlu tahu bahawa penderitaan bukan tempat manusia.  Itu tempat iblis. Yesus mahu supaya semua orang memiliki hidup kekal.  Manusia harus percaya dan menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat.  Ingat!  Di tempat penderitaan walau hanya setitik air ridak akan diberi.  Di sana juga, semua rayuan dan permohonan sekalipun itu untuk keselamatan orang lain tidak akan di dengar.  Semua yang ada di sana ialah mereka yang namanya tidak ditulis dalam buku kehidupan (Wahyu 20:15).



Di mana anda pilih, tempat indah atau tempat penderitaan?

Wednesday, October 6, 2010

Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham............. Kejadian 32:1-21

Yakub berdoa: "Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham, dan bapaku Ishak, dengarlah aku!  Tuhan sudah menyuruh aku pulang ke negeriku dan sanak saudaraku.  Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku. Aku tidak layak menerima segala kasih dan kesetiaan yang Engkau sudah tunjukkan kepadaku, hamba-Mu.  Pada masa aku berangkat menyeberangi sungai Yordan, aku tidak membawa apa-apa selain sebatang tongkat.  Sekarang aku datang kembali bersama dengan 2 kumpulan ini.  Aku mohon selamatkanlah aku dari abangku, Esau.  aku takut jangan-jangan dia datang menyerang dan membinasakan kami semua termasuk wanita serta anak-anak.  Ingatlah bahawa Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku dan memberi banyak keturunan kepadaku.  Bilangan mereka akan seperti pasir di pantai, sehingga tiada seorangpun dapat menghitung mereka."

Yakub mentaati perintah Allah dengan meninggalkan Laban dan kembali ke tanah Kanaan.  Sepanjang perjalanan ini, Yakub sendiri melihat penyertaan dan perlindungan Allah melalui malaikat-malaikat yang disebutnya sebagai "Bala tentera Allah".

Sebelum dia menginjakkan kakinya ke tanah Kanaan,  dia ingin sekali berdamai dengan Esau.  Lebih dari 20 tahun yang lalu, mereka berpisah kerana Yakub menipu Esau.  Sekarang ini dia tidak pasti adakah Esau masih marah padanya. Yakub sedar, dia hanya akan merasa tenang tinggal di Kanaan jika dia dan Esau berdamai.

Yakub dan rombongannya semakin mendekati tanah Seir di wilayah Esau.  Yakub sangat ketakutan dan tertekan.  Untuk mengetahui sikap Esau terhadapnya, diutusnya beberapa orang menemui Esau. Utusan itu menyampaikan pesanan serta luahan hati Yakub yang penuh hormat kepada Esau.  Dengan merendahkan diri Yakub menyebut Esau selaku tuannya manakala dia sendiri adalah hamba kepada Esau.  Diberitahunya juga bahawa selama ini dia tinggal pada Laban pakciknya, dan sekarang ini kembali sebagai seorang yang mempunyai banyak ternakan, hamba lelaki dan wanita juga memiliki keluarga yang besar.

Mereka yang diutus Yakub kini kembali kepadanya tanpa membawa sebarang jawapan atau pesan dari Esau. Tetapi diberitahukan bahawa Esau sekarang ini dalam perjalanan bersama 400 orang datang menemui Yakub.  Yakub semakin ketakutan.  Apakah keluargaku akan binasa hanya kerana penipuanku yang lalu terhadapnya?  Dalam ketakutan Yakub sempat bertindak:  "Akanku bahagi rombonganku kepada 2 bahagian dengan maksud kiranya bahagian yang pertama tewas di tangan Esau, maka bahagian yang lainnya sempat menyelamatkan diri."  Namun satu hal yang sangat disedari Yakub, bahawa untuk kali ini dia sudah sangat tidak berdaya untuk menolong dirinya sendiri apalagi melindungi keluarganya.

Dalam keadaan terdesak seperti inilah dia mencari pertolongan dari Allah dalam doanya.  Doanya terbit dari dalaman hati yang sangat memerlukan Tuhan. Dia kembali ke Kanaan kerana perintah Tuhan dengan janji bahawa sepanjang perjalanan ini Tuhan akan memberi perlindungan.  Dahulu dia meninggalkan Kanaan dengan hanya sebatang tongkat, kini kembali dengan suatu rombongan besar   Ini semua diperoleh kerana kasih karunia Tuhan. "Tuhan, selamatkanlah keluargaku dari tangan saudaraku Esau."

Selain doanya, Yakub juga bertindak menyediakan sejumlah hadiah yang banyak untuk melunakkan hati Esau.  Walaupun demikian, hati Yakub masih tidak tenteram.  Akhirnya dia berfikir:  "Rombongan ku semuanya harus segera menyeberangi sungai Yabok ini.  Semua ini terjadi kerana Yakub takut kalau nanti sedang rombongan menyeberang, pasukan dari Esau datang menyerang, dan mereka tidak berdaya atau sempat melarikan diri.

Pernahkah anda mengalami suatu situasi di mana anda merasa seolah-olah tidak ditemukan jalan keluar ketika melalui keadaan itu?  Seperti Yakub, sekalipun dia sendiri telah melihat malaikat-malaikat utusan Allah menyertai dan melindungi perjalanannya, dia tetap merasa takut dan terus berusaha berbuat sesuatu untuk melunakkan hati abangnya. Kalau Allah sudah berjanji untuk menyertai sepanjang perjalanan ini, yakinlah bahawa penyertaan-Nya akan kekal selama-lamanya bersama kita sebab Dia adalah EMMANUEL.

Tuesday, September 28, 2010

KEBAIKAN HATI - Lukas 10:25-37

"Ada orang kena rompak.   Dia ditinggalkan sendirian dalam keadaan tidak sedarkan diri.  Aku jatuh kesihan melihat keadaannya.   Haruskah aku menolongnya?  Dia bukan sebangsaku".   Semua orang senang saja untuk luahkan kata kesihan kepada orang yang malang, tetapi siapakah di antaranya yang kesihan dan betul-betul sanggup mau menolong?

Apakah anda suka keadaan yang dalam kesulitan?   Sebenarnya menolong mendatangkan sukacita, orang yang ditolongpun merasa senang.  Ketika saya mengajar di gereja anak, ada beberapa anak datang membawa kasutnya minta supaya saya tolong dia pakaikan kasutnya.  Bagi saya anak-anak itu patut ditolong sebab sememangnya mereka pandai membuka kasutnya tetapi tidak mampu memakainya kembali.  

Kadang-kadang kita terlalu sibuk sehingga tiada masa menolong orang yang memerlukan.  Reaksi kebanyakan orang ketika situasi sebegini mungkin:
 -   Cepat-cepat sembunyi dan pura-pura tidak tahu
 -   Takut kotor atau buang masa saya
 -   Saya tidak kenal dia apalagi kalau melibatkan rawatan ke hospital
 -   Nanti sendiri pula dirompak.

Seseorang melalui jalan tersebut dan simalang bukan sebangsanya.  Tetapi dia sedia untuk menolong.  mengapa dia baik kepada orang yang tidak dikenalnya?  Kerana orang yang malang itu perlu ditolong.  Jangan fikir apa-apa kalau mau menolong.
-    Lihatlah keperluan simalang
-    Beri perhatian dan kasih
-    Pengorbanan  -  kadang-kadang melibatkan masa, tenaga dan kewangan.

Ada orang takut hadapi risiko kerugian.   Saya tidak patut bertanggungjawab dan terlibat dengan hal orang lain.  Ada juga yang berprinsip:  "Yang penting saya tidak masuk campur hal orang lain".

Hanya orang yang tidak pernah mengenal kebaikan Allah saja yang tidak mau menolong orang malang.  Jika kita mengenal kebaikan Allah, kebaikan Allah itu akan kita salurkan kepada simalang.  Manakala simalang pula akan melihat kebaikan Allah dalam kita.

Sudahkah kita salurkan kebaikan Allah kepada orang yang memerlukan pertolongan?

Sunday, September 26, 2010

ANAK- 1 Samuel 2:11-21

Seorang pemandu gereja berkata dengan nada merendahkan diri.  Walaupun saya hanya bersekolah setakat sekolah rendah tetapi saya bercita-cita tinggi untuk anak saya.  Dengan sekuat tenaga saya bekerja keras berjuang mau melihat anak-anak saya pada suatu masa nanti beroleh pendidikan yang baik.


Anak-anak adalah gambaran tentang hari esok.  Keadaan Israel pada waktu itu sangat-sangat kacau sebab anak-anak Eli tidak takut Tuhan.  Sebagai pemimpin, mereka jauh dari persyaratan sehingga Tuhan enggan menyatakan diri pada umatNya.  Masa depan bangsa terancam.  Tetapi Allah terus berkarya.  Allah siapkan seorang anak sebagai ganti kedua-dua imam tersebut.  Namanya Samuel.  Dari kehamilan ibunya sampai pada penyerahan pengasuhan kepada imam Eli telah diatur oleh Tuhan.  Samuel kian hari bertumbuh sesuai dengan rencana Allah.


Siapa yang pernah melihat bahawa masa depan Israel ada dibahu si kecil Samuel yang berbaju etod ini.  Dalam usia muda Samuel, Allah sudah memberitahu suatu rahsia besar yang tidak sepatutnya diketahui oleh seorang anak seperti Samuel. 


Renungkan cara Allah berkarya.  Dia menyediakan hari esok pada seorang anak.


Jangan pernah meremehkan anak-anak.  Mereka menggambarkan amanat hari esok.  Untuk itu, mereka perlu disiapkan di bawah pengawasan kita yang dewasa.  Siapapun kita, entah sebagai orang tua, guru-guru, atau hanya pembantu di sekolah minggu atau pengasuh anak-anak, milikilah kesedaran dan pandangan bahawa semua kita memiliki peranan penting terhadap anak-anak untuk ikut membentuk masa depan mereka.  Harapan dan masa depan mereka terletak pada kasih yang ditanam sejak awal.