Thursday, October 28, 2010

Adakah Harapan Masa Depan akan Pergi Bersama Dia Yang Pergi?

Pemergian seseorang yang dikasihi membuat kita merasa tiada harapan dan masa depan lagi.  Kalau adapun, biasanya kita akan berkata bahawa harapan itu bukan milik kita lagi.  Semua itu telah pergi bersama dia yang pergi.

Naomi telah melalui pengalaman yang sangat menyakitkan dalam hidupnya.  Suami yang dikasihinya meninggal, tidak lama dari itu dua anak lelakinya juga meninggal.  Masa depan diselubungi dengan ketidakpastian.  Bukan mudah menempuhi keadaan sedemikian sebab sekarang ini dia masih tinggal di negeri asing.  Sungguh Naomi merasa hal ini bukannya mudah untuk diharungi.   Tiada lagi yang menjamin kehidupan dan masa depannya di sana.  Tapi syukurlah dia masih punya Rut, anak menantu yang mengambil berat tentang hidupnya.  Perkataan Rut sangat menolong dan telah mendorongnya untuk bangkit kembali.  Pada mulanya Naomi menolak untuk menerima perhatian dan kasih Rut.  tetapi dia kembali diyakinkan oleh perkataan dan tindakan Rut.

"Janganlah suruh saya pulang.  Benarkanlah saya mengikut mak.  Ke mana saja mak pergi, saya akan ikut bersama.  di mana saja mak tinggal, di situ juga saya hendak tinggal.  Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Allah yang disembah mak, akan saya sembah juga.  Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan.  Biarlah Tuhan menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apapun memisahkan kita kecuali kematian.  Rut 1: 16 - 17.  Ini adalah keputusan yang sangat berani oleh Rut.


Sangat heran bahawa Rut berani mengambil keputusan untuk mengakui Allah Naomi sebagai Allahnya juga.  Naomi kehilangan semua.  Apa lagi yang membuat Rut tertarik pada bangsa dan Allahnya Naomi?  Yang terpenting di sini bahawa keputusan Rut telah memberi sinar baru untuk masa depannya.  Rut hanya mau belajar mengenal Allah yang diimani oleh Naomi.

Kehidupan baru perlu diteruskan.  yang telah pergi biarlah pergi.  Apa yang terjadi seterusnya, serahkan saja ke dalam tangan Tuhan.   Dalam usaha Rut membela kehidupannya, dia bertemu dengan Boas.  Allah memberi suami ke dua iaitu Boas untuk Rut.  Kehidupannya terbela.  Mereka adalah nenek moyang kepada Juruselamat dunia.  Mungkin hal seperti ini tidak dibayangi oleh Rut sebelum ini, tetapi inilah yang berlaku padanya. 

Pelajaran yang kita dapat dari kisah ini ialah bahawa sebelumnya Rut mungkin tiada masa depan bersama mertuanya, tapi Allah telah mengubahnya menjadi bermakna.  Masa depan yang istimewa disediakan Allah bagi kita semua.  Sebab itu mohonlah kepada pimpinan Roh Kudus setiap kali kita membuat keputusan.

Wednesday, October 13, 2010

TIADA NAMA - Lukas 16 : 19 -31

Nama adalah cara terbaik untuk kita mengenal dan mendekati seseorang.  Tetapi anehnya nama yang seorang ini tidak dinyatakan.  Hanya dia dikenali sebagai seorang yang kaya-raya.  Dia punya segala-galanya.  Rumah mewah, cukup dengan para pembantunya dan yang pasti, makan minumnya sememangnya lazat.  Mengenai pakaiannya, dikatakan bahawa setiap hari dia berpakaian jubah ungu dan kain halus.  sangat hebat! Juga setiap hari mereka berpesta dalam kemewahan.  Tiada yang kurang.  Semua cukup.  Boleh dikatakan hartanya lebih dari cukup untuk diwarisi kepada keturunannya.  Kerana terlalu leka dengan kemewahannya, sikaya terlupa untuk merenung sejenak tentang makna hidupnya yang sebenarnya.  kekayaan telah membuatnya jauh dari Tuhan.  Tiada waktu untuk dia menghayati kebenaran.  Tiada masa beribadah.  Tidak dihiraukannya hidup sekarang dan akan datang.

Di dekat sikaya, ada seorang yang miskin.  Namanya Lazarus.  Secara fizikal dia mengidap penyakit kulit.  Sekalipun keadaannya demikian, dia tabah menghadapinya.  Selalunya, setiap waktu makan, Lazarus akan berbaring atau duduk di dekat pintu rumah sikaya sekadar mengharapkan sisa makanan yang jatuh dari meja sikaya.  Dia tidak berbuat jahat dengan mencuri makanan di tempat lain. Kerana keadaannya yang sedemikian perit membuatnya lebih bergantung kepada Tuhan.  Setiap hari dia merenung hidupnya yang susah.  Ada yang pasti bagi Lazarus: "Sekalipun hidupku penuh dengan penderitaan,semua ini hanya seketika saja. Akan ku miliki tubuh yang baru bila bersama Tuhan kelak".

Semua makhluk, baik yang kuat atau yang lemah suatu hari nanti akan menemui ajalnya masing-masing.  Tiada yang mampu bertahan jika tiba saatnya.  Sikaya dan Lazarus juga menemui ajalnya.

Si kaya tidak sedar kekayaannya bukan jaminan peroleh hidup kekal.  Dia masuk neraka.  Dia tanggung risiko dan sangat menyesal.  Tiada pilihan selain tinggal di tempat penderitaan.  sangat mengerikan!

Lazarus sebagai orang beriman sekarang hidup selesa.  Dia tidak lagi memikirkan soal lapar. Tiada kesakitan.  Kehidupan di sana sangat menyenangkan.  Paling indahnya duduk dipangkuan Abraham.

Si kaya di tempat penderitaannya memandang ke atas, dilihatnya Lazarus dan Abraham.  Dia berseru mohon belas kasihan:  "Tolong! bapa Abraham, suruhlah Lazarus celupkan hujung jarinya ke dalam air dan bawalah ke mari untuk sejukkan lidahku dan meringankan kesakitanku".  Tidak boleh sekalipun setitik air.  Abraham sedarkan dia tentang apa yang berlaku selama hidupnya. Lazarus layak mendapat hasil imannya. Lagipun ada jurang pemisah antara neraka dan tempat yang indah / sorga.

"Tapi bapa Abraham, jika air setitikpun tidak kudapatkan, aku ada suatu permohonan yang hanya Lazarus yang sesuai melaksanakannya. Suruh Lazarus kembali ke bumi supaya dia boleh memberi peringatan kepada keluargaku.  Lima orang saudaraku hidup seperti aku.  Beritahu dan sedarkan mereka supaya mereka bertobat dan jangan masuk ke tempat penderitaan ini".  Tidak boleh!  Pada mereka ada kitab Musa dan para nabi. Mereka harus merenung dan mentaatinya supaya mereka hidup.  "Tidak bapa Abraham.  Mereka itu keras hati.  mesti seorang seperti Lazarus yang bangkit dari antara orang mati yang sedarkan mereka".

Abraham memberitahunya:  "Kalau mereka tidak dapat diyakinkan oleh kitab yang ada pada mereka, orang yang mati dan bangkit kembalipun tetap tidak dapat menyedarkan mereka".  Kasihan si kaya, di neraka dia baru merasa terbeban akan keselamatan saudara-saudaranya yang masih di bumi. Dulu, selama di bumi tidak diingatinya hal keselamatan, Lazarus yang lapar juga tidak diberinya makanan.

Kita yang masih hidup ini perlu tahu bahawa penderitaan bukan tempat manusia.  Itu tempat iblis. Yesus mahu supaya semua orang memiliki hidup kekal.  Manusia harus percaya dan menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat.  Ingat!  Di tempat penderitaan walau hanya setitik air ridak akan diberi.  Di sana juga, semua rayuan dan permohonan sekalipun itu untuk keselamatan orang lain tidak akan di dengar.  Semua yang ada di sana ialah mereka yang namanya tidak ditulis dalam buku kehidupan (Wahyu 20:15).



Di mana anda pilih, tempat indah atau tempat penderitaan?

Wednesday, October 6, 2010

Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham............. Kejadian 32:1-21

Yakub berdoa: "Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham, dan bapaku Ishak, dengarlah aku!  Tuhan sudah menyuruh aku pulang ke negeriku dan sanak saudaraku.  Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku. Aku tidak layak menerima segala kasih dan kesetiaan yang Engkau sudah tunjukkan kepadaku, hamba-Mu.  Pada masa aku berangkat menyeberangi sungai Yordan, aku tidak membawa apa-apa selain sebatang tongkat.  Sekarang aku datang kembali bersama dengan 2 kumpulan ini.  Aku mohon selamatkanlah aku dari abangku, Esau.  aku takut jangan-jangan dia datang menyerang dan membinasakan kami semua termasuk wanita serta anak-anak.  Ingatlah bahawa Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku dan memberi banyak keturunan kepadaku.  Bilangan mereka akan seperti pasir di pantai, sehingga tiada seorangpun dapat menghitung mereka."

Yakub mentaati perintah Allah dengan meninggalkan Laban dan kembali ke tanah Kanaan.  Sepanjang perjalanan ini, Yakub sendiri melihat penyertaan dan perlindungan Allah melalui malaikat-malaikat yang disebutnya sebagai "Bala tentera Allah".

Sebelum dia menginjakkan kakinya ke tanah Kanaan,  dia ingin sekali berdamai dengan Esau.  Lebih dari 20 tahun yang lalu, mereka berpisah kerana Yakub menipu Esau.  Sekarang ini dia tidak pasti adakah Esau masih marah padanya. Yakub sedar, dia hanya akan merasa tenang tinggal di Kanaan jika dia dan Esau berdamai.

Yakub dan rombongannya semakin mendekati tanah Seir di wilayah Esau.  Yakub sangat ketakutan dan tertekan.  Untuk mengetahui sikap Esau terhadapnya, diutusnya beberapa orang menemui Esau. Utusan itu menyampaikan pesanan serta luahan hati Yakub yang penuh hormat kepada Esau.  Dengan merendahkan diri Yakub menyebut Esau selaku tuannya manakala dia sendiri adalah hamba kepada Esau.  Diberitahunya juga bahawa selama ini dia tinggal pada Laban pakciknya, dan sekarang ini kembali sebagai seorang yang mempunyai banyak ternakan, hamba lelaki dan wanita juga memiliki keluarga yang besar.

Mereka yang diutus Yakub kini kembali kepadanya tanpa membawa sebarang jawapan atau pesan dari Esau. Tetapi diberitahukan bahawa Esau sekarang ini dalam perjalanan bersama 400 orang datang menemui Yakub.  Yakub semakin ketakutan.  Apakah keluargaku akan binasa hanya kerana penipuanku yang lalu terhadapnya?  Dalam ketakutan Yakub sempat bertindak:  "Akanku bahagi rombonganku kepada 2 bahagian dengan maksud kiranya bahagian yang pertama tewas di tangan Esau, maka bahagian yang lainnya sempat menyelamatkan diri."  Namun satu hal yang sangat disedari Yakub, bahawa untuk kali ini dia sudah sangat tidak berdaya untuk menolong dirinya sendiri apalagi melindungi keluarganya.

Dalam keadaan terdesak seperti inilah dia mencari pertolongan dari Allah dalam doanya.  Doanya terbit dari dalaman hati yang sangat memerlukan Tuhan. Dia kembali ke Kanaan kerana perintah Tuhan dengan janji bahawa sepanjang perjalanan ini Tuhan akan memberi perlindungan.  Dahulu dia meninggalkan Kanaan dengan hanya sebatang tongkat, kini kembali dengan suatu rombongan besar   Ini semua diperoleh kerana kasih karunia Tuhan. "Tuhan, selamatkanlah keluargaku dari tangan saudaraku Esau."

Selain doanya, Yakub juga bertindak menyediakan sejumlah hadiah yang banyak untuk melunakkan hati Esau.  Walaupun demikian, hati Yakub masih tidak tenteram.  Akhirnya dia berfikir:  "Rombongan ku semuanya harus segera menyeberangi sungai Yabok ini.  Semua ini terjadi kerana Yakub takut kalau nanti sedang rombongan menyeberang, pasukan dari Esau datang menyerang, dan mereka tidak berdaya atau sempat melarikan diri.

Pernahkah anda mengalami suatu situasi di mana anda merasa seolah-olah tidak ditemukan jalan keluar ketika melalui keadaan itu?  Seperti Yakub, sekalipun dia sendiri telah melihat malaikat-malaikat utusan Allah menyertai dan melindungi perjalanannya, dia tetap merasa takut dan terus berusaha berbuat sesuatu untuk melunakkan hati abangnya. Kalau Allah sudah berjanji untuk menyertai sepanjang perjalanan ini, yakinlah bahawa penyertaan-Nya akan kekal selama-lamanya bersama kita sebab Dia adalah EMMANUEL.