Monday, May 2, 2011

Saya Sibuk - Lukas 10:38 - 42

"Saya sangat sibuk.  Tugasan yang tidak akan pernah habis-habis.  Kerja yang ini sudah selesai, tapi masih ada banyak kerja baru yang menanti dan mesti diselesaikan.  Ya, memang benar saya tidak cukup masa". Alasan sibuk dan tidak cukup masa!  Sebenarnya untuk kita, berapa jam sehari yang memadai cukup supaya kesibukan harian kita terurus?  Lebih dari 25 jam sehari atau 8 - 10 hari seminggu?.   Tahukah kita bahawa selagi kita hidup, kerja tidak akan pernah selesai.  Dia akan tetap ada seiring dengan berjalannya masa, keadaan dan keperluan hidup kita.  keadaan seperti ini memberitahu kita bahawa kesibukan akan tetap ada.  terserah bagaimana cara setiap kita menangani kesibukan yang ada.

Dalam suatu kaji selidik yang pernah saya baca tentang halangan bagi pertumbuhan rohani, saya melihat suatu data yang dikumpulkan daripada 20,000 lebih orang kristian di 139 buah negara menyatakan bahawa mereka "sering" atau  "merasa tergesa-gesa" melakukan sesuatu tugas.  60% orang kristen berkata bahawa kesibukan hidup sering atau selalu menjadi penghalang mengembangkan hubungan mereka dengan Tuhan.  Hal ini jelas menyedarkan kita bahawa sebenarnya kesibukanlah yang membuat kita gelisah dan mengganggu persekutuan kita dengan Tuhan.  Apakah kita mahu mengakuinya?

Kita belajar dari pengalaman Marta.  Pada hari  itu, Yesus dan murid-murid adalah tetamu istimewanya.  Marta sibuk menyediakan makanan dan dia memastikan semua tetamunya merasa selesa. Dia telah membiarkan kesibukan membuat dia merasa gelisah sehingga tiada masa lagi yang diluangkannya untuk mendengar dan merenungkan kata-kata Yesus.

Bagaimana dengan kita?  terlalu sibukkah kita sehingga semua waktu dipenuhi oleh aktiviti kerja kita?  Ataupun pekerjaan kita untuk Yesus juga telah mengganggu kita dari menikmati persekutuan dengan Yesus.  Sekalipun pelayanan yang aktif dan praktik kepada Allah itu penting dan baik, tugas kita yang pertama dan terpenting adalah kasih dan pengabdian yang terungkap dalam penyembahan, doa dan persekutuan bersama Tuhan.

No comments:

Post a Comment