Wednesday, October 6, 2010

Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham............. Kejadian 32:1-21

Yakub berdoa: "Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham, dan bapaku Ishak, dengarlah aku!  Tuhan sudah menyuruh aku pulang ke negeriku dan sanak saudaraku.  Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku. Aku tidak layak menerima segala kasih dan kesetiaan yang Engkau sudah tunjukkan kepadaku, hamba-Mu.  Pada masa aku berangkat menyeberangi sungai Yordan, aku tidak membawa apa-apa selain sebatang tongkat.  Sekarang aku datang kembali bersama dengan 2 kumpulan ini.  Aku mohon selamatkanlah aku dari abangku, Esau.  aku takut jangan-jangan dia datang menyerang dan membinasakan kami semua termasuk wanita serta anak-anak.  Ingatlah bahawa Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku dan memberi banyak keturunan kepadaku.  Bilangan mereka akan seperti pasir di pantai, sehingga tiada seorangpun dapat menghitung mereka."

Yakub mentaati perintah Allah dengan meninggalkan Laban dan kembali ke tanah Kanaan.  Sepanjang perjalanan ini, Yakub sendiri melihat penyertaan dan perlindungan Allah melalui malaikat-malaikat yang disebutnya sebagai "Bala tentera Allah".

Sebelum dia menginjakkan kakinya ke tanah Kanaan,  dia ingin sekali berdamai dengan Esau.  Lebih dari 20 tahun yang lalu, mereka berpisah kerana Yakub menipu Esau.  Sekarang ini dia tidak pasti adakah Esau masih marah padanya. Yakub sedar, dia hanya akan merasa tenang tinggal di Kanaan jika dia dan Esau berdamai.

Yakub dan rombongannya semakin mendekati tanah Seir di wilayah Esau.  Yakub sangat ketakutan dan tertekan.  Untuk mengetahui sikap Esau terhadapnya, diutusnya beberapa orang menemui Esau. Utusan itu menyampaikan pesanan serta luahan hati Yakub yang penuh hormat kepada Esau.  Dengan merendahkan diri Yakub menyebut Esau selaku tuannya manakala dia sendiri adalah hamba kepada Esau.  Diberitahunya juga bahawa selama ini dia tinggal pada Laban pakciknya, dan sekarang ini kembali sebagai seorang yang mempunyai banyak ternakan, hamba lelaki dan wanita juga memiliki keluarga yang besar.

Mereka yang diutus Yakub kini kembali kepadanya tanpa membawa sebarang jawapan atau pesan dari Esau. Tetapi diberitahukan bahawa Esau sekarang ini dalam perjalanan bersama 400 orang datang menemui Yakub.  Yakub semakin ketakutan.  Apakah keluargaku akan binasa hanya kerana penipuanku yang lalu terhadapnya?  Dalam ketakutan Yakub sempat bertindak:  "Akanku bahagi rombonganku kepada 2 bahagian dengan maksud kiranya bahagian yang pertama tewas di tangan Esau, maka bahagian yang lainnya sempat menyelamatkan diri."  Namun satu hal yang sangat disedari Yakub, bahawa untuk kali ini dia sudah sangat tidak berdaya untuk menolong dirinya sendiri apalagi melindungi keluarganya.

Dalam keadaan terdesak seperti inilah dia mencari pertolongan dari Allah dalam doanya.  Doanya terbit dari dalaman hati yang sangat memerlukan Tuhan. Dia kembali ke Kanaan kerana perintah Tuhan dengan janji bahawa sepanjang perjalanan ini Tuhan akan memberi perlindungan.  Dahulu dia meninggalkan Kanaan dengan hanya sebatang tongkat, kini kembali dengan suatu rombongan besar   Ini semua diperoleh kerana kasih karunia Tuhan. "Tuhan, selamatkanlah keluargaku dari tangan saudaraku Esau."

Selain doanya, Yakub juga bertindak menyediakan sejumlah hadiah yang banyak untuk melunakkan hati Esau.  Walaupun demikian, hati Yakub masih tidak tenteram.  Akhirnya dia berfikir:  "Rombongan ku semuanya harus segera menyeberangi sungai Yabok ini.  Semua ini terjadi kerana Yakub takut kalau nanti sedang rombongan menyeberang, pasukan dari Esau datang menyerang, dan mereka tidak berdaya atau sempat melarikan diri.

Pernahkah anda mengalami suatu situasi di mana anda merasa seolah-olah tidak ditemukan jalan keluar ketika melalui keadaan itu?  Seperti Yakub, sekalipun dia sendiri telah melihat malaikat-malaikat utusan Allah menyertai dan melindungi perjalanannya, dia tetap merasa takut dan terus berusaha berbuat sesuatu untuk melunakkan hati abangnya. Kalau Allah sudah berjanji untuk menyertai sepanjang perjalanan ini, yakinlah bahawa penyertaan-Nya akan kekal selama-lamanya bersama kita sebab Dia adalah EMMANUEL.

No comments:

Post a Comment